Memperkukuh respons kehakiman terhadap jenayah pemerdagangan orang



​​Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said, Ihsan Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam






BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 3 Februari. - The ASEAN Multilateral Judicial Knowledge Exchange on Victim-Sensitive Adjudication of Trafficking in Persons Cases (Pertukaran Pengetahuan Kehakiman Multilateral ASEAN mengenai Pengadilan Sensitif terhadap Mangsa dalam bagi Kes Pemerdagangan Orang) telah dibuka secara rasmi pagi tadi, bertempat di Mutiara Ballroom, Hotel Radisson, di ibu negara.


Program Pertukaran Pengetahuan Kehakiman (Judicial Knowledge Exchange-JKE) yang bermula hari ini hingga 5 Februari 2026 berkenaan menghimpunkan para hakim dari Negara-negara Anggota ASEAN yang mempunyai pengalaman semasa atau terdahulu dalam mengendalikan kes-kes pemerdagangan orang, di samping wakil institusi latihan kehakiman serta Sekretariat Majlis Ketua-ketua Hakim ASEAN (Council of ASEAN Chief Justices-CACJ).


JKE merupakan inisiatif Kumpulan Kerja Pendidikan dan Latihan Kehakiman CACJ (WG-JET) yang dipengerusikan bersama oleh Badan Kehakiman Republik Indonesia dan Republik Filipina, sekali gus mencerminkan komitmen bersama badan kehakiman ASEAN dalam memperkukuh respons kehakiman terhadap jenayah pemerdagangan orang melalui pendekatan berteraskan mangsa dan berasaskan hak asasi.


Program berkenaan disokong oleh Program ASEAN-Australia Counter Trafficking (ASEAN-ACT) yang dibiayai oleh Kerajaan Australia serta Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).


JKE pelbagai sektor yang pertama telah diadakan di Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Lao dari 29 September hingga 1 Oktober 2025 dengan penyertaan badan kehakiman Lao PDR, Malaysia, Republik Kesatuan Myanmar dan Republik Singapura. JKE kali kedua berkenaan melibatkan penyertaan badan kehakiman dari Negara Brunei Darussalam (NBD), Kemboja, Thailand dan Republik Sosialis Viet Nam.


Majlis pembukaan diserikan dengan ucapan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam, Yang Arif Haji Abdullah Soefri bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Yang Arif Agus Subroto, S.H., M.Kn dari Mahkamah Agung Indonesia; Canselor Akademi Kehakiman Filipina (PHILJA), Mahkamah Agung Filipina, Yang Arif Rosmari Carandang (Bersara); Penyelaras Serantau bagi Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran, Pejabat Serantau UNODC bagi Asia Tenggara dan Pasifik, Dr. Rebecca Milner; serta Setiausaha Kedua (Politik/Ekonomi), Suruhanjaya Tinggi Australia di NBD, Jennifer Zhao.


Para penceramah menekankan bahawa pemerdagangan orang merupakan jenayah serius tanpa sempadan yang mencabuli maruah manusia serta melemahkan kedaulatan undang-undang, justeru memerlukan tindak balas kehakiman ASEAN yang kukuh dan selaras.


Mereka turut menegaskan kepentingan kerjasama serantau, perkongsian pembelajaran serta pengadilan yang harmoni dan sensitif terhadap mangsa bagi memastikan keadilan prosedur dapat ditegakkan sambil meminimumkan trauma terhadap mangsa.


Mereka juga menegaskan semula komitmen kolektif ASEAN terhadap pertukaran pengetahuan praktikal dan kerjasama kehakiman yang berterusan bagi memperkukuh tindak balas yang berkesan terhadap pemerdagangan orang.


JKE berperanan sebagai platform bagi para peserta berkongsi pengalaman praktikal, perspektif nasional serta amalan terbaik kehakiman dalam pengendalian kes-kes Trafficking in Persons (TIP).


Selain itu, ia juga bertujuan mengumpulkan input substantif mengenai isu dan cabaran utama yang dihadapi oleh mahkamah, selain mengenal pasti pendekatan kehakiman yang berkesan dan sensitif terhadap mangsa di peringkat serantau.


Sepanjang program, para peserta akan terlibat dalam perbincangan tertumpu mengenai komponen utama Kompendium Pengadilan Sensitif terhadap Mangsa bagi Kes TIP yang bakal dibangunkan, antaranya meliputi prosiding mahkamah dan keterangan, sokongan dan perlindungan mangsa, kepentingan terbaik kanak-kanak, pampasan dan restitusi, analisis keputusan penghakiman kes TIP berasaskan bukti, serta Pembangunan kapasiti hakim yang mengendalikan kes-kes TIP.


Penganjuran JKE berkenaan menzahirkan iltizam kolektif badan kehakiman ASEAN untuk meningkatkan keupayaan kehakiman, menggalakkan keseragaman dalam pengadilan, serta memastikan kes-kes pemerdagangan orang ditangani dengan penuh kepekaan terhadap hak, maruah dan perlindungan mangsa selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang.


Close